Saturday, May 18, 2013

Den familia 2013



Dibawah sinaran suria alhamdulillah hampir semua anak-anak MESSP  di Saint Petersburg baik lelaki , perempuan mahupun yang tidak dikenali jenisnya dapat bersama-sama berkumpul menjayakan hari keluarga kali ini. Lebih meriah tahun ini 5 orang anak-anak MMASO datang bertenggek menyerikan lagi majlis.

Majlis bermula seawal 8.30 pagi di mulakan dengan upacara menyalakan arang. Antara menu BBQ kali ini adalah ayam masin resepi Matyi , daging salai hasil air tangan Ferq , satey Avtova , hotdog keras , dan strawberi bakar idea bernas Ebi. Turut menghiasi menu kali ini kek coklat , kuah kacang kurang pedas dan buah-buahan.



Upacara bakar membakar berjalan dengan penuh muhibbah , riang ria , gedik-gedik manja dan gembira. Selepas habis sesi makan bermulalah sesi termenung selama 1 jam . Sesi termenung merupakan slot tambahan bagi menunggu pelajar yang tiap-tiap tahun lambat untuk makan.

Selesai sesi termenung bermulalah acara kemuncak iaitu 'suka neka'. Pada tahun ini menyaksikan pertambahan sukan-sukan kreatif. Antaranya berlari dalam beg groceries Okei , bawa bola ping pong menggunakan botol air mineral Bon Aqua , lari berpasangan ikat kaki dan acara tuju botol Bon Aqua. Buat pengetahuan semua botol Bon Aqua merupakan botol kegemaran penganjur program.



Acara 'suka neka' kali ini telah dicemari dengan adegan tolak menolak yang sedikit sebanyak telah mencalarkan silaturahim para pelajar. Pelajar yang terlibat harap boleh bersedia menunggu hukuman dari Biro Disiplin tidak lama lagi.

' Suka neka' telah dimenangi oleh rumah sukan Indah dengan 100 markah , tempat kedua rumah sukan Perkasa 99 markah dan tempat terakhir rumah sukan Bahagia dengan 10 markah.

" Penat saya bertanding hari ini , saya pun tak tahu hadiah last sekali dapat kat siapa" kata Abdul Hakim. "Tenang bro hadiah dia pisang aje" pujuk Azim Rohzan.




Acara penutup telah dipengurusikan oleh Saudara Eizaz Irfan dan Saudara Farid Nazir. Berbagai jenis hadiah telah ditukar-tukar. Alhamdulillah semuanya mendapat hadiah.Antara hadiah-hadiah yang mencuri tumpuan tahun ini serbuk kari Alagapas yang dah expired , tudung PUMA , cover passport dan majalah JOM!

" Penat saya datang dari Moscow , diorang tak belikan hadiah apa-apa. Saya rasa seolah-olah dianak tirikan " luah Eizat Ghazali sambil ditenangkan rakan nya Joe.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan. Jelas terpancar kesedihan di mata kakak-kakak yang akan habis belajar tahun ini. BBQ ini merupakan yang terakhir mereka di St Petersburg , juga BBQ single terakhir. Mereka rata-rata sudah menempah bunga telur dan kad jemputan pada summer nanti.



Selepas habis majlis dikhabarkan tunang kepada Asyraf telah pengsan kerana dehydrated kesan dari memakan ayam masin resepi matyi. Namun berita terbaru yang diterima keadaannya beransur pulih setelah diberi minum air yasin yang dibaca oleh Al-Hafiz Ammar bin Alam Faizli.



Apa-apa pun kami mengucapkan beribu ribu ribu taniya kepada semua kerana menjayakan upacara kita pada hari ini. Jaga iman dan jaga kesihatan . Selamat menempuh musim peperiksaan diucapkan kepada semua. Selamat menempuh musim pengangguran diucapkan kepada senior yang bakal graduate juga. Moga kasih sayang kita yang terbina ini terus erat seperti eratnya perut buncit yang kekenyangan.

Jumpa lagi semua!

No comments:

Post a Comment